Monday 14 April 2014

Transformasi Perasaan Negatif

Sebenarnya dalam hidup ini banyak perkara akan terjadi mengikut apa yang kita fikir tentangnya. Pada awalnya, perkara tersebut mungkin bukan seperti tersebut, tetapi oleh sebab reaksi kita yang negatif, hasilnya juga adalah negatif.
Semasa kecil, saya selalu melintas di sebuah rumah yang membela anjing untuk sampai ke rumah seorang sahabat. Apabila anjing  tersebut menyalak, saya berasa cemas menyebabkan saya mengayuh basikal saya lebih laju. Tindak balas anjing kepada saya adalah mengejar saya lebih laju dan anjing-anjing tersebut seolah-olah berasa puas dapat menakut-nakutkan saya.
Seseorang mengajar saya bahawa apabila anjing menyalak, elak daripada melarikan diri. Saya cuba amalkan nasihat beliau dengan memberhentikan basikal, menunjukkan postur badan yang penuh keyakinan dan merenung kembali dengan tajam kepada anjing tersebut.
Kesannya, setelah beberapa ketika menyalak kepada saya anjing tersebut terdiam. Kalau dulu saya perlu berbasikal, tetapi semenjak waktu itu saya boleh berjalan kaki apabila melintasi rumah tersebut.
Tercoret sebuah kata-kata hikmat,
“Ketakutan telah membunuh impian lebih hebat daripada kegagalan.”

Ketakutan dan Gambaran Minda yang Negatif

Ketakutan-ketakutan adalah bayangan mental yang kita sendiri cipta sebelum perkara tersebut benar-benar terjadi. Adakah perkara tersebut benar-benar akan terjadi? Mungkin ya, mungkin juga tidak.
Salah satu punca mengapa ketakutan bersarang dalam kepala kita adalah kerana cara masyarakat di sekeliling kita berfikir. Ia akan membentuk persepsi kita tentang sesuatu perkara dan isu. Sebenarnya perasaan takut yang wujud hanyalah sebuah gambaran minda yang negatif yang dicipta oleh orang lain atau perkara sekeliling.
Sebagai contoh, mungkin anda berasa seronok melihat seorang saudara yang sudah berjaya dalam bisnes mempunyai kehidupan yang amat mewah. Setahun sekali semasa hari raya, beliau berkunjung ke rumah anda dengan memandu sebuah kereta mewah. Jadi, anda pun menanam impian untuk mengikuti jejak langkah beliau sebagai usahawan berjaya suatu hari nanti.
Tetapi saat anda menyuarakan impian anda, ibu bapa mengatakan ia adalah kerjaya yang berisiko. Ibu bapa anda pula meminta ibu dan bapa saudara untuk menasihati anda.
Maka dengan ‘niat suci’, mereka bercerita perihal rakan yang ingin menceburi bidang keusahawanan akhirnya muflis dan tak cukup makan. Pada akhirnya, pilihan yang ideal adalah bekerja makan gaji sebagai kakitangan kerajaan.
Tidak ramai yang berhadapan situasi di ‘brainwash’ oleh keluarga sanggup bertahan dengan pilihan mereka. Satu demi satu kisah-kisah tragis dihidangkan membuatkan kita lebih rela untuk menjadi ‘biasa-biasa’ berbanding mengejar impian.

Takut dan Motivasi Dalam Dunia Bisnes

Pada zaman dahulu, ada seorang askar Greek yang menghidap penyakit kritikal yang boleh membawa maut. Mengetahui yang usia tidak bertahan lama, dia turun di medan perang dengan hati yang lapang tanpa sedikit pun perasaan takut mati.

Baginya, lambat laun dia akan mati juga. Daripada mati kerana penyakit, lebih baik mati di medan perang kerana dia akan dikenang sebagai seorang perwira.
Dia berjuang dengan sepenuh hati dan apabila pihaknya beroleh kemenangan, dia masih lagi hidup. Oleh sebab keberanian dan sumbangannya kepada pasukan, panglima pasukan telah mengambil keputusan untuk menaikkan pangkat dan menganugerahkannya pingat penghormatan. Tetapi pada hari penganugerahan, askar tersebut kelihatan murung menyebabkan si panglima bertanya puncanya.
Perwira tersebut menjelaskan bahawa dia menghidap penyakit kronik dan bakal menghembuskan nafas terakhir tidak lama lagi. Bagaimana mampu sebuah negara kehilangan seorang perwira yang ulung? Panglima mengarahkan supaya dicarikan tabib terbaik untuk mengubati penyakit askar tersebut.
Berita baiknya, akhirnya askar tersebut sembuh daripada penyakit yang dideritai. Manakala berita buruknya adalah semenjak sembuh, dia tidak lagi kelihatan di barisan hadapan pasukan tentera.

Elak Gosip Negatif, Wujudkan Gosip Positif

Mengelak daripada gosip di tempat kerja adalah cara terbaik untuk menyelamatkan reputasi seorang majikan juga diri pekerja sendiri.
Majikan tidak perlu menjadi seorang manusia yang sempurna untuk mengelak pekerja bergosip tentang majikan. Cukup jika seseorang majikan itu memahami pekerja sebagaimana majikan mahu pekerja memahami mereka.
Sikap hormat merupakan hak setiap manusia. Oleh itu, jangan tetapkan dalam fikiran bahawa sebagai seorang majikan, hanya pekerja yang perlu menunjukkan rasa hormat terhadap anda. Pekerja juga berhak untuk dihormati.
Mengumpat atau bergosip di tempat kerja merupakan perbuatan yang kurang sopan dan tidak matang. Ia boleh merosakkan reputasi diri sendiri, organisasi dan kerjaya orang lain.
Namun punca kepada aktiviti negatif ini juga harus dikaji. Punca para pekerja bergosip atau bercakap-cakap tetang majikan mungkin berpunca daripada majikan sendiri.
Oleh itu, majikan perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa organisasi dan lebih-lebih lagi kakitangan yang bersama-sama membantu majikan membina dan memajukan bisnes/organisasi.

Amat penting untuk mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan selesa kepada para pekerja yang menjadi tulang belakang kepada setiap organisasi. Suasana harmoni bermaksud atmosfera kerja yang tidak tegang, pekerja yang gembira dan sentiasa bersemangat melakukan tugasan dan bergaul dengan pekerja sesuai masa dan keadaan.
Jika sedang berbual santai, tanyakan tentang perjalanan kehidupan peribadi atau perancangan peribadi pekerja, beri idea atau sokong rancangan mereka jika ia bermanfaat untuk masa depan pekerja tersebut. Elakkan berbicara soal kerja dan tugasan ketika sedang bersantai bersama pekerja.

Dalam isu gosip di antara pekerja ini, majikan berkuasa menukarkan gosip negatif kepada gosip positif dengan lebih kerap ‘turun padang’ dan ambil tahu isu atau konflik semasa yang berlaku dalam organisasi anda.
Tonjolkan sikap yang positif dan berkarisma, memahami pekerja dan mengambil berat. Ia tetap akan menyebabkan pekerja bergosip tentang anda, namun bercakap dan memuji-muji sikap majikan merupakan ‘gosip’ yang positif.

8 sikap majikan yang menjadi bahan gosip pekerja

Setiap kali karnival kerjaya dianjurkan, banyak penasihat kerjaya menasihati para pencari kerja agar berusaha dan belajar menjadi pekerja yang baik. Bagaimana pula dengan majikan? Tidakkah pekerja juga layak mendapatkan penghormatan dan layanan yang baik daripada majikan masing-masing?
Dalam dunia pekerja, majikan yang baik dibezakan dari majikan yang tidak baik melalui cara majikan tersebut menilai dan melayan para pekerja. Mereka juga menilai majikan berdasarkan sumbangan majikan tersebut dalam sesuatu projek bersama atau ‘team work’ yang dilaksanakan di organisasi tersebut.

Kenapa Pekerja Bergosip?

Pekerja banyak bertolak ansur dengan tingkah laku buruk majikan. Banyak juga majikan tidak terlatih, tidak peduli, dan tidak bertanggungjawab atas tindakan dan interaksi mereka dengan pekerja.
Amalan pengurusan yang tidak cekap serta sikap-sikap negatif lain seperti berat sebelah, berlagak, tidak mesra dan lain-lain sering menyebabkan tercetusnya gosip di pejabat (workplace gossip).
Gosip di tempat kerja merupakan salah satu faktor utama pekerja tidak berpuas hati dengan kerja mereka. Ia sebagai saluran pekerja melepaskan perasaan tidak puas hati, geram atau kecewa dengan pihak pengurusan mahupun majikan.
Aktiviti ini boleh menjatuhkan reputasi, menyebabkan hilang rasa hormat serta mengakibatkan konflik di tempat kerja. Pekerja bergosip sesama mereka mengenai majikan atas faktor tertentu.
Antara yang utama ialah tentang ketidakcekapan pengurusan seperti tarikh pemberian gaji, agihan cuti dan fleksibiliti, majikan tiada empati (tiada tolak ansur dengan pekerja dan masalah peribadi) dan lain-lain lagi.

Antara isu-isu yang menjadi bahan gosip di kalangan pekerja adalah:

1) Tidak Tahu Apa yang Anda Lakukan

Adakah anda seorang majikan kompeten di tempat kerja? Ini adalah elemen utama yang dinilai pekerja terhadap majikan mereka. pekerja melihat sikap dan personaliti majikan dalam membuat penilaian.
Apakah anda menawarkan kepimpinan yang pekerja perlukan untuk berjaya? Adakah anda memimpin dan mengurus dengan cara yang menyebabkan pekerja anda tahu bahawa anda tahu apa yang sedang berlaku dalam organisasi.
Majikan yang menjadi bahan gosip ialah majikan yang tidak tahu apa yang dilakukan dan paling teruk apabila majikan tersalah memberi maklumat/arahan, kemudian berbohong dan lebih buruk lagi menyalahkan pekerja untuk menutup kesalahan yang telah dilakukan.

2) Tidak Menghormati Pekerja

Seorang majikan telah mencederakan perasaan pekerja apabila berkelakuan seperti raja atau diktator, mahu pekerja menghormati dan melayan majikan dengan baik, namun pekerja tidak menerima perkara yang sama daripada majikan.
Sebagai mana majikan, pekerja juga manusia yang memiliki perasaan dan harga diri. Jangan hilangkan keyakinan dan harga diri pekerja dengan melayan pekerja seperti hamba. Tambahan pula, jika majikan melayan mereka secara tidak hormat, majikan tidak akan mendapatkan rasa hormat daripada pekerja sebagai balasan.
Apabila majikan memperkecilkan idea-idea pekerja, mengabaikan pandangan mereka, dan mengkritik mereka secara tidak adil, mereka berasa tidak dihormati.
Mengadakan mesyuarat saat akhir tanpa mengambil kira komitmen pekerja, enggan mengadakan percutian bersama pekerja dan gagal melibatkan diri dalam satu-satu projek adalah tanda tingkah laku diktator. Pekerja tahu apabila mereka tidak dihormati dan mereka akan membenci majikan. Bersedialah menjadi bahan gosip pekerja sepanjang tahun.

3) Majikan yang Cetek Ilmu

Sekiranya majikan seorang yang tidak munasabah, mementingkan diri sendiri, manipulasi, monopoli atau kurang pengetahuan tentang perkara atau pekerjaan yang diuruskan, jangan harapkan penghormatan daripada para pekerja.
Dunia pekerjaan kini ramai dihuni oleh individu-individu yang bekerja semata-mata kerana upah gaji, bukan kerana mereka benar-benar sukakan pekerjaan tersebut. Keadaan menjadi lebih teruk apabila golongan sebegini yang dilantik menjadi ketua atau dinaikkan pangkat.
Tidak kira sama ada seorang majikan itu dilantik atau majikan di organisasi sendiri, majikan harus menyediakan diri dengan ilmu yang penting dan bermanfaat dalam bidang kerja masing-masing. Agak memalukan apabila sesuatu perkara atau maklumat penting yang berkaitan dengan kerja atau tugasan tidak diketahui seorang majikan.
Benar, majikan bukan Tuhan yang tahu segala-galanya, namun beri masa pada diri menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan penguasaan sesuatu skil agar tidak menjadi perkara utama dalam perbualan antara pekerja.

4) Majikan Berat Sebelah

Sikap ini yang paling dibenci pekerja dan majikan seperti inilah yang sering diperkatakan pekerja. Ada majikan merasa mereka telah melakukan yang terbaik, tetapi mereka melakukan atau memberi layanan terbaik hanya kepada pekerja pilihan mereka.
Ada pekerja yang prestasinya sangat bagus, berdisiplin namun sedikit pendiam tetapi aktif melibatkan diri untuk kemajuan organisasi tetapi tidak menerima layanan sewajarnya daripada majikan hanya kerana beliau kekurangan skil komunikasi.
Majikan yang paling teruk apabila menilai pekerja menerusi rupa, penampilan serta kepetahan mereka memuji dan memberi kata-kata manis kepada majikan. Pekerja tidak akan bergosip tentang majikan sekiranya majikan tersebut seorang yang adil dan baik hati.

5) Majikan Tidak Tahu Apa yang Pekerja Lakukan

Untuk menjadi seorang majikan yang baik dan dihormati, majikan perlu faham sepenuhnya skop tugasan pekerja untuk membimbing mereka. Selidiki kemungkinan-kemungkinan kekangan yang dihadapi pekerja dalam rutin kerja harian mereka.
Berkomunikasi serta berbual santai dengan pekerja untuk mengetahuinya. Ketahuilah majikan serinkgkali tidak berjaya ‘mengorek masalah’ yang dihadapi pekerja ketika dalam mesyuarat kerana tidak ada pekerja yang mahu mengaku mereka berdepan masalah secara terang-terangan dan di hadapan pekerja lain pula.
Elakkan daripada dibenci pekerja atau menjadi bahan kutukan pekerja dengan berlagak faham dan tahu semuanya tentang pekerja dan tugasan yang dipikul mereka. Banyakkan bertanya dan jika perlu, selitkan gurauan untuk lebih mudah majikan mengetahui masalah pekerja.

6) Pekerja Bukan Robot

Meminta pekerja untuk bekerja lebih masa dan memberikan kerja lebih daripada yang mampu dihadapi pekerja akan menyebabkan pekerja tertekan sekali gus hilang rasa hormat terhadap majikan.
Sudah tentu pekerja mahu melakukan yang terbaik di tempat kerja, tetapi dalam masa yang sama mereka juga mempunyai pelbagai tanggungjawab di rumah, dengan keluarga, rakan-rakan, kerja sukarela, aktiviti sukan dan banyak lagi.
Fahami pekerja sebagai seorang manusia yang memiliki tanggungjawab yang pelbagai. Kehidupan seorang majikan dan pekerja bukan hanya di pejabat sahaja, tanggungjawab hakiki yang lain tidak boleh dinafikan.
Ada antara urusan penting yang perlu dilakukan pada waktu pejabat seperti urusan dengan pejabat-pejabat kerajaan, temu janji doktor di hospital kerajaan, membawa anak untuk pemeriksaan bulanan dan lain-lain.

Majikan yang menawarkan fleksibiliti dan memahami pekerja akan lebih dihormati dan dikasihi pekerja. Malah, pekerja generasi muda atau generasi Y tidak seperti rakan-rakan mereka yang lebih tua, mereka menuntut kefleksibelan dan masa yang bebas untuk melaksanakan semua kepentingan mereka yang lain.
Letakkan diri majikan di tempat pekerja dan majikan akan faham apa yang dirasakan pekerja. Elakkan daripada membuat pekerja merasa bersalah, membantah apa yang mereka perlu lakukan atau mempertikai keperluan mereka terhadap sesuatu perkara (cuti, cuti kecemasan, peralatan pejabat, ruang kerja yang selesa dan lain-lain) atau majikan hanya menawarkan pekerja satu lagi elemen untuk bahan gosip mereka.

7) ‘Kedekut’ Dalam Memberi Penghargaan Kepada Pekerja

Pekerja suka apabila majikan mengiktiraf dan memberi kredit (pujian) untuk pencapaian mereka. Apa yang menimbulkan kejelekan di kalangan pekerja ialah apabila majikan diberi pujian oleh pengurusan tertinggi atau orang lain atas hasil idea dan usaha pekerja.
Majikan ‘mencuri’ dan ‘merampas’ pujian yang sepatutnya dikongsi bersama atau ditujukan secara khusus kepada pekerja yang benar-benar berusaha dan bekerja keras.
Jika idea seseorang staf itu membuahkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan reputasi syarikat, sebutlah nama pekerja yang mencadangkan idea tersebut dan beri penghargaan kepada pekerja.

8) Tidak Menyokong Pekerja

Sekiranya anda bekerja sebagai satu pasukan dan salah seorang pekerja melakukan sedikit kesilapan yang tidak disengajakan, jangan menghentam pekerja tersebut.
Apabila pekerja terus-terusan disalahkan serta dikritik atas kesilapan yang dilakukan, majikan hanya menyebabkan pekerja mempunyai set pemikiran bahawa melakukan kesilapan di organisasi ini adalah haram dan berdosa.
Sedangkan daripada kesilapan itulah pekerja akan memperbaiki diri mereka dan belajar strategi baru. Sokonglah pekerja dan beri motivasi, bukan menghilangkan motivasi tersebut.
Gosip baru akan timbul dan majikan mungkin akan dilabel sebagai ‘malaikat’ kerana tidak bertoleransi dengan kesilapan yang dilakukan pekerja. Majikan juga manusia dan manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan sekali skala.

Monday 24 March 2014

Kelebihan Bidang Keusahawanan

Keusahawanan adalah satu usaha mikroekonomi yang menjalankan inovasi dengan tujuan menggabungkan inovasi dengan kewangan dan perniagaan untuk menghasilkan barangan atau perkhidmatan.
Ini adalah peluang untuk bakal usahawan kecil berada dalam organisasi yang sedia ada atau memulakan perusahaan baru.
Istilah keusahawanan telah digunakan dalam aktiviti-aktiviti sosial dan politik untuk menggambarkan idea-idea baru sosial atau politik. Bidang usahawan kecil atau besar sama ada dalam perniagaan, sosial atau politik sememangnya melibatkan pengambilan risiko.
Di Malaysia, wujudnya usahawan-usahawan dalam sektor perniagaan secara tidak langsung memberi kelebihan kepada masyarakat, ia boleh membantu peluang pekerjaan kerana perniagaan kebiasaannya melibatkan peniaga – pekerja – pelanggan…
Ciri-ciri ini sering dikaitkan dengan usahawan, iaitu orang yang terlibat dalam bidang keusahawanan dan mengusahakan perniagaan mereka.
Digambarkan mereka sebagai usahawan yang memulakan perniagaan mereka sendiri untuk kepuasan diri dan sara diri.
Perbincangan kontemporari melihat mereka sebagai ahli perniagaan yang melancarkan perniagaan yang inovatif untuk menubuhkan sebuah syarikat utama yang akan membawa keuntungan bagi mereka dan pelabur.
Kelebihan Bidang Keusahawanan Di Malaysia

Kelebihan Keusahawanan

Ia merupakan enjin bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
Seseorang usahawan kecil atau besar menubuhkan sebuah perniagaan baru memerlukan khidmat pekerja dan secara langsungnya mereka menyediakan peluang pekerjaan.
Kerajaan atau pihak berkuasa tempatan menjalankan cukai dan hasilnys pergi ke arah meningkatkan pendapatan negara.
Bidang keusahawanan membawa keluar kualiti kepimpinan dalam setiap usahawan seperti seorang usahawan boleh ditawarkan peluang latihan untuk mengasah kemahiran mereka.
Terdapat banyak kursus keusahawanan dan kemahiran keusahawanan yang tersedia ada untuk bakal usahawan kecil sebelum mereka memulakan sesebuah perniagaan. Bermula dengan tip-tip usahawan, dana dan pinjaman pembiayaan, ketahanan diri dalam menempuh risiko perniagaan dan sebagainya. Usahawan yang terlatih boleh memberi manfaat kepada sesebuah organisasi atau komuniti.
Keusahawanan bermaksud memberi kebebasan kepada usahawan menguruskan perusahaan mereka sendiri dengan cara yang mereka ingin kan.
Keusahawanan membolehkan bakal usahawan menggunakan modal yang mereka ada untuk melihat inovasi mereka memulakan perniagaan dari akar umbi sehingga keperingkat yang lebih tinggi.
Keusahawanan menggalakkan persaingan kerana setiap usahawan yang berpotensi cuba untuk tampil dengan inovasi terbaik. Ini juga diterjemahkan dalam barangan atau perkhidmatan yang berkualiti yang mereka sediakan.

Mengekalkan Keusahawanan

Misi usaha baru hanya boleh dipenuhi jika usahawan dapat mengekalkan keusahawanan sepanjang hayat organisasi.
Iaitu, inovasi telah menjadi strategi utama setiap usaha yang dilakukan. Setiap usahawan perlu bersikap terbuka kepada inovasi dan kemungkinan wujud sebarang perubahan.
Perubahan perlu dilihat sebagai positif untuk mengekalkan perniagaan.
Oleh itu, pengurusan organisasi keusahawanan memerlukan dasar-dasar yang menggalakkan inovasi dan ganjaran kepada mereka yang digelar usahawan kecil dan besar dalam mewujudkan corak yang akan membawa kepada sebuah organisasi yang dinamik, fleksibel, dan penting.
Seperti yang dapat dilihat, pendidikan keusahawanan boleh memberi kesan positif di semua peringkat dalam.
Ini menjelaskan mengapa terdapat pelbagai program pendidikan yang berkaitan dengan keusahawanan dan tip-tip usahawan kecil dan besar.

Kesimpulan Tentang Keusahawanan

Pelbagai organisasi dan penulis mentakrifkan “keusahawanan” dan “usahawan” dalam cara yang berbeza.
Walau bagaimanapun, definisi “keusahawanan” cenderung untuk mempunyai beberapa ciri-ciri yang sama dan mencadangkan keusahawanan yang melibatkan tip-tip usahawan, merancang dan memulakan perniagaan, mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan, andaian risiko usaha perniagaan, dan menyediakan beberapa jenis inovasi untuk membantu usahawan berjaya dalam bidang keusahawan yang diceburi.

Ciri-ciri usahawan berjaya

Ciri-ciri usahawan
·        Usahawan sentiasa mempunyai keperluan untuk berjaya dengan cemerlang dalam hidup. Dia sedar hidup yang berjaya adalah hidup yang bermakna.
·        Seseorang usahawan adalah pengejar risiko. Namun, risiko yang dipilihnya adalah yang sederhana. Dia sukakan cabaran dan kejayaannya mengatasi cabaran akan memberi kepuasan kepadanya.
·        Usahawan tidak menjadikan dirinya terkongkong oleh perkara yang akan mem¬bantutkan cita-citanya. Dia merancang dan melakukan sendiri apa yang sebaik-baiknya patut dilakukan.
·        Seseorang usahawan akan cuba menyelesaikan masalah dengan cepat dan sebaik mungkin. Dia tidak membiarkan masalah itu bertimbun-timbun hingga gagal diselesaikan. Dia mengambil masalah dan memecahkannya kepada masalah kecil, kemudian menyelesaikannya satu persatu.
·        Usahawan sentiasa mempunyai harapan yang positif mengenai masa depannya. Dia sering berfikir bahawa jika berusaha bersungguh-sungguh dia akan beroleh kejayaan.
·        Untuk menjamin bahawa dia tidak terpengaruh oleh gejala negatif, usahawan mencari persekitaran yang baik dan dapat membantunya menjayakan cita-citanya.
·        Satu formula terpenting bagi seseorang usahawan ialah buat apa yang dirancang. Dia tidak hanya mempunyai banyak idea, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan ideanya satu kenyataan.
·        Seorang usahawan adalah seorang ketua yang berwibawa dalam organisasi perniagaannya. Dia sedar mengenai kepentingan pengurusan manusia dan da¬pat mengurus pekerjaannya dengan baik.Dia disukai serta dihormati pekerjanya dan mereka bekerja dengan bersemangat penuh kesetiaan. Dia berkebolehan untuk mengawal perniagaannya dengan teratur dan memastikannya berjalan lancar serta memperoleh keuntungan.
·        Asas bagi perniagaan ialah saling mempercayai. Seseorang usahawan perlu percaya kepada kebolehan pekerjanya, percaya kepada pembekalnya serta pembelinya. Namun, dia harus menangani perkara ini dengan penuh kebijaksanaan.
·        Ini sifat yang amat penting. Keyakinanlah yang menyebabkan seseorang usahawan menjadi berani menempuh risiko dan dugaan. Bersama keyakinan inilah dia mampu bergerak maju walaupun dengan bantuan yang sedikit atau tiada bantuan langsung.
·        Usahawan itu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Jika dia membuat kesilapan, dia akan bertanggungjawab terhadap kesilapannya itu dan menjadikannya pengajaran serta bertekad tidak mahu mengulanginya lagi pada masa akan datang.
·        Usahawan bijak mengenal pasti peluang. Dia sentiasa berkesempatan mengaut keuntungan atau peluang baru bagi memajukan perniagaannya. Keupayaan mengenal pasti peluang, merebut dan melaksanakannya adalah kualiti penting seseorang usahawan berjaya.
·        Kebiasaannya manusia akan berhenti di zon selesa dan tidak lagi memasang cita-cita untuk lebih maju. Usahawan berjaya sentiasa menetapkan matlamat yang lebih tinggi apabila cita-citanya selama ini telah dicapai.
·        Seorang usahawan berfikir secara positif. Dengan cara ini dia berkebolehan me¬lihat sesuatu masalah sebagai peluang, berbeza daripada ramai insan yang menganggap peluang sebagai masalah.
·        Seseorang usahawan itu sentiasa mahu mengetahui sejauh manakah dia berjaya melaksanakan tugasnya. Dia sentiasa mahu mendapatkan maklum balas mengenai pencapaiannya. Maklum balas ini membolehkan dia merangka strategi baru untuk memajukan perniagaan atau membuat keputusan penting.
·        Usahawan berfikir bahawa sebenarnya dia boleh melakukan lebih baik daripada sebelumnya. Dia sentiasa mencari jalan bagi memperbaiki cara mengurus perniagaan atau produk yang dihasilkannya. Dia melakukan semua ini untuk memajukan lagi perniagaannya.
·        Usahawan menyusun strateginya dengan rapi sebelum dia memulakan sesuatu projek. Dia perlu mengambil kira kemungkinan yang akan berlaku dan mengambil langkah untuk meminimumkan kemungkinan kegagalan pada perkara yang boleh dikawal oleh dirinya. Dia juga mengenal pasti perkara di luar kawalan yang mungkin berlaku dan membuat persediaan awal mengelakkan sebarang akibat buruk yang akan menimpa dirinya. Paling penting pada seorang usahawan ialah merancang masa kerana inilah kunci segala perancangan.
·        Usahawan memerlukan seberapa banyak maklumat yang terkini dan berguna untuk membolehkan dia merancang serta membuat keputusan dalam perniagaannya. Oleh itu, seorang usahawan sentiasa mencari maklumat terbaru dan menggunakan khidmat agensi sebaik mungkin.
·        Usahawan fokus pada pencapaian matlamatnya. Ia jelas dan mempunyai nilai dalam hidup. Dia akan melakukan pelbagai usaha yang dirancang rapi untuk matlamatnya itu. Dengan fokus inilah usahawan dapat melakukan sesuatu dengan cara atau usaha yang tidak mampu dilakukan orang lain. Apabila telah mencapai matlamat, dia akan menetapkan matlamat yang lebih cemerlang lagi. Dia sentiasa bergerak menuju kejayaan.
·        Seseorang usahawan mampu mengubah suai pentadbiran untuk memajukan syarikatnya. Dia akan menggunakan kakitangan dan mengagihkan kerja berdasarkan minat serta kebolehan kakitangan.
·        Pengurusan perniagaan yang efisien dan efektif adalah perlu bagi menjamin kemajuan sesebuah perniagaan. Seorang usahawan perlu mahir dalam merancang, mengorganisasi, mendorong pekerja dan mengawal perniagaan.
·        Semangat yang kental perlu untuk usahawan kerana dalam perniagaan dia akan menempuh pelbagai dugaan dan rintangan. Sesiapa yang dapat menempuh cabaran tersebut, dialah yang boleh berjaya
·        Usahawan adalah pemimpin. Mereka bijak dalam menyusun strategi pengaruhnya. Dengan pengaruh, dia mampu mendapatkan lebih banyak peluang yang menguntungkan dalam masa singkat. Seorang usahawan perlu ada daya pengaruh bagi membolehkannya berjaya dalam urus niaga dan mengatur urusan pekerjanya.
·        Seseorang usahawan yang berjaya itu kuat bekerja. Dia sanggup melakukan kerja tanpa mengira masa. Ini dapat dilakukannya kerana dia sukakan kerjayanya.
·        Usahawan pandai membuat keputuan yang bijak untuk membolehkan pernia¬gaan berjalan lancar dan meminimumkan masalah yang bakal timbul. Selain pengetahuan, mereka menggunakan gerak hati.
·        " Seseorang usahawan yang berjaya itu kuat bekerja. Dia sanggup melakukan kerja tanpa mengira masa. Ini dapat dilakukannya kerana dia sukakan kerjayanya."
Adakah anda ingin menjadi seorang usahawan berjaya? Nilai diri anda berdasarkan ciri-ciri di atas dan perbaiki segala kelemahan anda. Pasti anda mampu menjadi seorang usahawan berjaya.